Saturday, January 22, 2011

Situasi 5

Salam perbincangan isu semasa bahasa.

Dalam era globalisasi dengan kecanggihan teknologi, penggunaan bahasa terutamanya bahasa Melayu yang semakin mengalami kecelaruan. Misalannya penggunaan bahasa dalam sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

     Salam..tgh wt pe? Chat ke?

Kadang kala kita seperti di zaman bahasa Melayu purba kerana bahasa Melayu seperti kekurangan kosa kata. Contohnya dalam ayat di atas perkataan 'chat' yang membawa maksud untuk bersembang dalam laman-laman sembang ataupun laman-laman sosial, tetapi 'chat' dalam ayat tersebut membawa maksud 'sihat'. Ini menyukarkan pembaca SMS untuk memahami ayat tersebut. Dalam bahasa Melayu standard ialah :

     Assalamualaikum, tengah buat apa? Sihat ke?

Situasi 4

Salam sayangi bahasa.

Dalam laman-laman sosial atau laman-laman sembang banyak penggunaan bahasa yang tidak betul dan tidak seharusnya digunakan untuk menghantar komen. Contohnya penggunaan singkatan perkataan yang kadang kala sedikit menyukarkan pembaca untuk memahami isu yang ingin disampaikan.

um,smlm pas keje drve blik kg twus,pstu mlmnye twus drve k pineng... penat xilang ag,jap g nk drve pineng k kg,pastu ptg kang drve k epo lak,sok keje... ohh,sgguh penat...



Penggunaan ayat seumpama ini sering digunakan oleh golongan remaja. Ayat yang mengikut bahasa Melayu standard ialah :

Semalam, selepas habis kerja terus memandu balik ke kampung. Kemudian malamnya terus memandu ke Pulau Pinang. Penat memandu tidak hilang lagi, sebentar lagi hendak memandu pulang ke kampung semula dan petang pula memandu lagi ke Ipoh sebab esok hendak kerja. Oh, penatnya!

Situasi 3

Salam tinta bahasa.

Situasi ini berlaku di kedai makan ketika sedang menunggu tempahan makanan.

      A  :  Ko gi ngan sape nanti? Kalau ko gi ngan keta aku nak tumpang tau.
      B  :  Boleh je.

Penggunaan bahasa yang digunakan oleh penutur A menunjukkan singkatan perkataan yang digunakan dalam perbualan atau pertuturannya. Malahan ayat yang digunakan juga tidak gramatis. Ayat yang sebenarnya ialah: 

     A  :  Awak pergi naik apa nanti? Kalau awak pergi menaiki kereta saya hendak tumpang.

Tuesday, January 18, 2011

Situasi 2

Assalamualaikum w.b.t. dan salam cintai bahasa.

Situasi berlaku semasa para pelajar berebut menaiki bas untuk pergi ke kuliah di Proton City.

         Pelajar 1  : Hoi...sabar ar orang tak habis turun lagi tu.

Ulasan : Pemakaian atau penggunaan bahasa yang digunakan dalam kalangan mahasiswa/i tidak seharusnya menggunakan atau melontarkan ayat seperti di atas kerana ayat tersebut dianggap kasar dipendengaran halwa telinga. Ini menunjukkan ketidaksopanan ayat yang digunakan dalam pertuturan seseorang yang dianggap berilmu. Seharusnya sebagai mahasiswa/i ayat yang boleh digunakan untuk menunjukkan sedikit kesopanan seperti :

         Pelajar 1  : Sekejap ye...boleh bersabar tak. Bagi laluan orang nak turun dulu.

Monday, January 17, 2011

Situasi 1

Situasi di lif :

Situasi ini berlaku semasa ramai pelajar sedang berpusu-pusu untuk menaiki lif. Setelah agak lama menunggu akhirnya lif pun berhenti di tingkat kami dan pintu lif pun terbuka yang membolehkan kami menyusup masuk ke dalam lif.

            Pelajar    : Haa...cepat-cepat masuk lif kosong tu.
            Lelaki     : Boleh tunggu sekejap tak? (sambil menekan butang menutup pintu lif dan salah seorang 
                            rakan kami berjaya menyusup masuk ke dalam lif tersebut). 
            Pelajar 1 : Hek eleh...kerek giler lelaki tu...da la tak bagi masuk siap sound lagi. Sentap betul!
            Pelajar 2 : Poyonye...ingat lif tu dia punye ke?

Penggunaan bahasa rojak, iaitu penggunaan bahasa Inggeris seperti sound yang sepatutnya digantikan dengan kata menyindir. Malahan terdapat juga penggunaan bahasa slanga atau bahasa kutu ataupun bahasa rocker yang sering digunakan oleh golongan remaja seperti hek eleh, kerek, poyo dan sentap. Contohnya istilah kerek yang membawa maksud sombong. Penggunaan bahasa slanga dalam kalangan masyarakat pada masa kini begitu membimbangkan kerana keadaan ini akan merosakkan norma sebutan atau tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri.







Tuesday, January 11, 2011

Assalamualaikum w.b.t.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang dan selamat membaca blog saya yang tidak seberapa ini yang bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pandangan dalam penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat.  Saya berharap anda dapat memberi idea-idea yang membina dalam penulisan blog saya ini untuk tujuan penambahbaikan dalam penulisan saya.

CINTAILAH BAHASA KITA